Tuesday, September 16, 2008

ppik kesang jaya

K
ampung Kesang Jaya telah mula wujud sejak tahun 1972 lagi. Menurut orang-orang tua, kawasan Kampung Kesang Jaya pernah dijadikan tempat penanaman ubi kayu ketika di zaman pemerintahan Tentera Jepun di Tanah Melayu. Melalui perancangan yang dibuat oleh pihak Kerajaan Negeri Melaka pada tahun 1972, kawasan ini telah disediakan pelan tertentu untuk tapak-tapak perumahan dengan purata keluasan ¼ ekar bagi setiap lot untuk dianugerahkan kepada masyarakat setempat yang mana ketika itu dikenali sebagai Kampung Baru Ayer Panas.
Tanah-tanah lot ini mula diberi hak milik pada tahun 1979 dan mula diduduki pada tahun 1980. Antara individu Melayu terawal mendiami kawasan ini ialah Baharim Hassan dan Tuan Haji Minhad bin Embi dan seterusnya diikuti oleh Encik Kerk Chee Yong dan Encik Teh Kim Swee bagi masyarakat Cina serta Mardusiva bagi masyarakat India. Selepas mereka, ramai lagi yang membina rumah mereka sehinggalah terbentuknya sebuah perkampungan terancang yang terdiri dari berbilang kaum yang dikenali sebagai “Kampung Kesang Jaya”.


Kampung Kesang Jaya terletak kira-kira enam kilometer dari Bandar Jasin. Kampung Kesang Jaya merupakan sebahagian dari Kampung Kesang Tua yang telah lama wujud sejak tahun 1970-an. Kampung ini merupakan kawasan penempatan moden yang berkonsepkan taman perumahan. Rumah-rumah di kampung ini dibina dengan batu, berbeza jika dibandingkan dengan rumah tradisional Melaka yang terkenal dengan keunikan tangga batunya. Taraf ekonomi yang semakin meningkat membolehkan penduduk di sini hidup dengan lebih selesa.Majoriti penduduk di sini berbangsa Melayu dan diikuti dengan bangsa Cina dan India. Walaupun berbilang bangsa, masyarakat di sini hidup dengan aman dan sentiasa bermuafakat.

No comments: